Wednesday, March 3, 2010


Hari Kemerdekaan ke-51 disambut sederhana

MENARIK... Shafie Apdal (kanan) dan Ng Yen Yen (dua dari kanan) melihat logo Hari Kemerdekaan ke-51 yang dilancarkan di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 8 Ogos - Sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-51 pada 31 Ogos ini akan diadakan secara sederhana selaras dengan langkah-langkah penjimatan oleh kerajaan yang melibatkan pemotongan peruntukan sebanyak RM20 juta.
Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini yang bertemakan Perpaduan Teras Kejayaan berbanding RM40 juta sebelum ini.
''Bagaimanapun semangat dan martabat sambutan ulang tahun kemerdekaan negara itu tetap dikekalkan,'' katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pelancaran tema, logo dan lagu Perpaduan Teras Kejayaan di sini hari ini.
Antara aktiviti yang tidak adakan pada tahun ini ialah pertunjukan bunga api yang menjadi acara kemuncak pada setiap kali sambutan Hari Kemerdekaan.
Beliau memberitahu, sebanyak RM150,000 akan diperuntukkan kepada setiap negeri untuk menyambut Hari Kemerdekaan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Ng Yen Yen.
Dalam pada itu, Shafie memberitahu, acara kemuncak Hari Kemerdekaan 2008 akan berlangsung di Dataran Merdeka di sini yang melibatkan perbarisan dan perarakan kontinjen.
Katanya, selaras dengan tema Perpaduan Teras Kejayaan, pihaknya telah mengatur program supaya masjid di seluruh negara mengadakan khutbah bertemakan perpaduan ketika solat Jumaat manakala rumah ibadat agama lain mengadakan sembahyang khas ke arah perpaduan.
Menurut beliau, majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat juga akan diadakan di Masjid Negara menjelang 31 Ogos dengan dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.
Perayaan Ambang Merdeka pula katanya, akan diadakan pada 30 Ogos di Dataran Merdeka dengan dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sementara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan berada di Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan di Bukit Bintang pula oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan.
''Upacara penutup sambutan Hari Kemerdekaan yang sepatutnya diadakan di Kota Kinabalu, Sabah pada 16 September ini telah ditunda kepada 18 Oktober disebabkan umat Islam masih menjalani ibadah puasa ketika itu,'' katanya.
Shafie berkata, Perdana Menteri juga akan melancarkan Larian Perpaduan di Dataran Merdeka pada 17 Ogos ini yang melibatkan kira-kira 15,000 peserta.
Sementara itu, pencipta lagu, Datuk Suhaimi Mohd. Zain (Pak Ngah) yang mencipta lagu Perpaduan Teras Kejayaan berjaya memenangi hadiah wang tunai RM10,000 manakala penulis lirik, Lokgha atau Lokman Ghani menerima RM5,000 manakala pertandingan mencipta logo dimenangi oleh Anuar Dan.

No comments:

Post a Comment